Bangunan
Ruang yang kini lebih dikenali sebagai Lingkaran, dahulunya pernah menjadi tempat dua perusahaan milik keluarga; satu sebagai kilang memproses kayu-kayan iaitu \"Kilang Papan Keong Lik\" dan satu lagi sebagai \"Bukit Merah Wood Products\" mengkhusus kepada perabot kayu buatan tempahan. Pada suatu waktu dahulu, kawasan di sini dipenuhi prasarana pemprosesan kayu-kayan di kiri kanan jalan, namun kini hanya ada dua kilang yang masih beroperasi.
Semasa zaman pentadbiran penjajah British, Malaysia adalah negara pengeluar bijih timah terbesar dunia, dengan Ipoh, yang terletak di Lembah Kinta yang kaya dengan bijih timah, muncul sebagai salah satu pusat perlombongan dan kegiatan ekonomi terpenting. Pada awal abad ke-20, wujud permintaan yang tinggi untuk bahan kayu bagi membina struktur perlombongan, jentera mesin, dan kawasan penempatan. Berterusan hingga ke tahun 2000an, kayu kekal sebagai bahan utama untuk pembinaan. Bagaimanapun, apabila bahan-bahan seperti besi keluli dan batu konkrit semakin kerap diperlukan, dan dengan kejatuhan industri bijih timah yang bermula pada tahun 1985, perdagangan kayu-kayan mula merosot dan banyak kilang terpaksa ditutup.
Hari ini, bahagian asal luar bangunan ini telah dipulihara, sebahagian besarnya menggunakan kayu kitar semula mencakupi setiap sudut di ruangan ini. Kebanyakan kayu ini berasal daripada pokok hujan-hujan yang biasa ditanam di tepian jalan, punya kelebihan sebagai teduhan menjulai dan sudur rimbunan. Namun, apabila teras bandar mengalami kepesatan, pokok-pokok ini yang asalnya ditanam di atas tanah milik kerajaan, seringkali ditebang dan disisihkan.
Oleh kerana sayang melihat pokok ini ditebang, yang tidak lebih sebagai satu pembaziran tidak wajar, keluarga saya mula menyelamatkan sisa-sisa batang pokok yang ditebang dan akhirnya mencapai persetujuan dengan pihak kerajaan tempatan untuk menebus sebahagiannya. Sisa kayu yang sebelum ini dianggap sebagai bahan buangan kini diubah guna semula untuk membuat dinding, perabot, dan bahagian sudut luaran yang anda lihat pada hari ini.

Era Awal Perusahaan Kayu (1957)
Di waktu usianya 18 tahun, datuk saya, Tan Hoh Heng, mula bekerja sebagai pekerja buruh di \"Kilang Papan Yap Yun Kee\" di Menglembu. Perdagangan kayu-kayan pada waktu itu berkembang pesat, dipacu oleh permintaan daripada sektor pembinaan dan perlombongan bijih timah. Di waktu itu, segalanya dilakukan secara manual. Kayu-kayan dipunggah dari lori dan kemudian diangkat di atas bahu. Kilang papan seperti \"Yap Yun Kee\" adalah jenis perusahaan yang menukar bahan kayu mentah menjadi rasuk kayu, kepingan papan, dan kayu penyokong untuk kegunaan di seluruh negara.

Usaha Niaga Terawal di Parit (1962–1964)
Berbekal pengalaman yang ada, beliau mula bekerjasama dengan seorang sahabatnya, Ah Yun, mereka bersama-sama membuka sebuah kilang papan kecil di Parit, Ipoh. Malangnya pada tahun 1964, terjadi peristiwa banjir besar, memusnahkan bangunan kilang di tebing sungai dan beberapa jambatan berhampiran. Perusahaan mereka terpaksa ditutup akibat kerosakan teruk yang dialami pada tapak dan infrastruktur.

Duduk Menyewa dan Membina Semula (1965)
Setelah kejadian itu, datuk saya menyambung kerja dalam industri yang sama, menyewa dan beroperasi melalui beberapa kilang papan yang ada, ini termasuk \"Syarikat Zhen Yuan Timber Company\" dan \"Kilang Papan Ahmat Sapawi\". Pada waktu itu, sudah menjadi kelaziman bagi operator kilang papan berpindah dari satu tapak ke tapak yang lain, menyewa ruang mengikut keperluan keadaan semasa. Inilah zamannya yang memperlihatkan bagaimana pasang surut industri ini dan duduk kenyataan bekerja mengelola prasarana yang dikongsi milikannya.

Lawatan Tapak Pembalakan di Beruas (1969)
Biasanya pembalakan dan pemprosesan kayu dikendalikan oleh syarikat berasingan. Di sini, kelihatan datuk saya sedang melawat tapak pembalakan di Beruas, di mana sumber kayu diperolehi. Lawatan seperti ini penting bagi menjalin hubungan dengan pembekal dan memastikan bekalan terus mencukupi.

Kemelesetan Ekonomi Dunia dan Titik Perubahan (1984)
Kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1984 memberi kesan besar kepada industri kayu negara. Akibatnya nilai harga kayu jatuh merundum, permintaan atas kayu berkurang dan banyak kilang papan kecil terpaksa ditutup. \"Zhen Yuan\", salah sebuah kilang yang disewa oleh keluarga, juga terpaksa menutup operasi. Walaupun demikian, datuk dan nenek saya, Tan Hoh Heng dan Leong Lee Seng, tidak berpatah semangat, cekal mengumpul wang simpanan mereka bagi mengambil alih tapak kilang lalu menubuhkan \"Keong Lik Timber Industries\", meletakkan batu asas milik kekal perusahaan mereka.

Generasi Baru Turut Serta (1991)
Empat anak lelaki daripada keluarga iaitu Tan Kai Kiang, Tan Kai Lek, Tan Khai Wei, dan Tan Kai Meng memilih untuk pulang ke Ipoh berganding bahu membantu bapa mereka. Diketuai Tan Kai Kiang, sebagai perancang \"Keong Lik Industries\", yang cekap melihat potensi baru di sebuah tapak lain yang berdekatan, membantu keluarga mengorak langkah penuh yakin membina kilang papan kekal pertama buat mereka. Infrastruktur dan bangunan yang dibangun pada waktu itu masih teguh berdiri hingga ke hari ini.

Mencebur dalam Penghasilan Produk Kayu: Bukit Merah Wood (2000)
Berbanding hanya bertumpu pada perusahaan papan, para ahli keluarga melihat adanya peluang pendekatan lain. Di bawah Tan Kai Lek, Syarikat \"Keong Lik Timber Industries\" melancarkan \"Bukit Merah Wood Products (BMW)\", menghasil cipta pintu, perabot, dan bahan hiasan kayu lain.

Penutupan Kilang Papan (2019)
Berikutan kebimbangan meningkatnya kegiatan pembalakan haram serta dasar pembalakan yang semakin ketat, akibatnya kegiatan perusahaan kilang papan berskala kecil menjadi terbantut. Ahli keluarga sepakat membuat keputusan menghentikan operasi kilang, langsung menutup \"Keong Lik Timber Industries\" setelah hampir 30 tahun ianya diusahakan.

Pembukaan Kembali Kilang yang Ditutup (2021)
Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, Tan Kai Lek telah menjemput sebuah keluarga yang mengurus kedai kopi setempat untuk memperkenalkan pengalaman budaya minum kopi dalam suasana persekitaran perindustrian kawasan kilang. Beliau mereka bentuk satu ruang terbuka menggunakan bahan batu-bata punggah guna dan batang kayu pokok hujan-hujan yang dikitar semula, menyerlahkan ruang tersebut dengan cirinya yang tersendiri menggunakan bahan asas semulajadi.

Kembali untuk Membina Semula (2025)
Kilang ini telah dibuka semula secara tidak formal dengan adanya sebuah kafe dan pentas pertunjukan, namun masih tanpa hala tuju yang jelas. Pada tahun 2025, saya pulang dan ikut serta membantu membentuknya lagi bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga identiti dan matlamat. Inilah titik tolak permulaan idea Lingkaran.